Gambar fail, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO NSTP.
Gambar fail, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO NSTP.
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan bersetuju memberikan rebat sebanyak 15 dan 25 peratus terhadap bayaran premium tanah pertanian yang diluluskan untuk ditukar syarat kepada projek hartanah.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemotongan sebanyak 25 peratus itu akan diberikan kepada pengusaha dan pemaju yang dapat menjelaskan bayaran premium dalam tempoh 21 hari, selepas kelulusan pertukaran diperoleh.

Katanya, pemotongan 15 peratus pula diberikan kepada mereka yang membuat bayaran premium dalam tempoh 60 hari.

"Mereka akan mendapat potongan terus daripada nilaian yang dikenakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) tanpa

perlu membuat rayuan.

"Sebagai contoh, jika mereka dikenakan bayaran premium RM100,000, mereka hanya perlu membayar RM75,000, tetapi bayaran itu perlu dijelaskan dalam tempoh 21 hari, manakala bayaran dijelskan dalam tempoh 60 hari layak terima 15 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, insentif itu yang berkuatkuasa serta merta diberikan sebagai langkah membangunkan negeri dan mempercepatkan kemajuan dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19.

"Langkah ini juga dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam urusan berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemilikan hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar oleh warga asing diturunkan daripada RM2 juta sebelum ini kepada minimum RM600,000.

"Bagaimanapun bagi kediaman bertanah pula adalah pada kadar RM1 juta dan ke atas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:35 PM