Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Skim Sewa Untuk Milik (RTO) wajar dijadikan sebagai antara intipati utama dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar berkata, usaha itu bukan saja dapat membantu meningkatkan kuasa pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, malah membantu pemaju mengurangkan unit rumah tidak terjual.

Beliau berkata, pelaksanaan RTO berkenaan boleh dilakukan dengan pembabitan pihak pemaju sebagai penyedia rumah dan kerajaan menerusi kementerian berkaitan sebagai penguat kuasa dan pemantau dalam skim ini.

“Melalui skim ini juga, syarikat pemaju terbabit menawarkan rumah untuk disewa pada tempoh tertentu dan kemudiannya memberi pilihan sama ada penyewa itu mahu memilikinya selepas itu.

“Dalam usaha menangani isu pemilikan rumah rakyat, skim RTO antara langkah yang bersesuaian dan wajar untuk diberikan perhatian bagi pelaksanaan sepenuhnya,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Berdasarkan laporan pasaran harta tanah bagi separuh pertama 2019 yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan (JPPH) mendedahkan terdapat 32,810 unit kediaman siap dibina tidak terjual bagi tempoh masa itu dengan nilai RM19.76 bilion.

Dari aspek bilangan unit, ia menyaksikan peningkatan 1.5 peratus berbanding 32,313 unit pada separuh kedua 2018 namun mencatatkan penurunan nilai sebanyak 0.5 peratus kepada RM19.86 bilion.

Abd Aziz berkata, permasalahan berkaitan dalam sektor perumahan ini adalah begitu sensitif dan banyak perlu diteliti dan diberi perhatian supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak.

Menurutnya, perkara yang menyebabkan pemilikan menjadi begitu sukar untuk rakyat di negara ini khususnya mereka yang berpendatan rendah dan tengah adalah harga rumah yang mahal.

“Sekiranya kerajaan menguatkuasakan skim RTO untuk dilaksanakan, pemantauan dan kawal selia yang ketat perlu dilakukan sebaiknya untuk kebaikan rakyat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:50 AM