AARON (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke Hospital Bintulu.
AARON (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke Hospital Bintulu.
Erika George


HOSPITAL Bintulu bakal memiliki satu lagi blok bangunan bernilai RM400 juta dalam masa terdekat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Dagang.

Katanya, pembinaan bangunan baharu yang mampu menempatkan sekitar 250 katil pesakit itu nanti dilihat sebagai langkah terbaik bagi menampung jumlah pesakit yang meningkat.

"Pembinaan bangunan ini nanti sekaligus bakal memberikan keselesaan buat setiap pesakit yang ditempatkan di hospital sekaligus menamatkan masalah kesesakan di wad pesakit di Hospital Bintulu," katanya selepas selesai lawatan kerja ke Bintulu, hari ini.

Terdahulu Aaron turut mengadakan lawatan ke tapak Klinik Kesihatan Kidurong di Jalan Tanjung Kidurong.

Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan fasiliti yang dimiliki Hospital Bintulu bagi membuat saringan untuk mengesan wabak Covid-19.

"Dengan adanya kemudahan sedemikian akan memudahkan urusan pengambilan sampel darah individu disyaki dijangkiti wabak itu yang mana ujian dapat dijalankan terus di Bintulu tanpa perlu dihantar ke Sibu atau Miri seperti sebelum ini.

"Saya akan memastikan fasiliti perubatan seperti hospital dan klinik kesihatan di negeri ini akan terus dinaiktaraf dan dibuat penambahbaikan dari masa ke masa dalam usaha menyediakan kemudahan kesihatan terbaik buat rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 5:42 PM