Sharanizawati menunjukkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan pencen penakat yang diterima daripada PERKESO di kediamanya Sungai Buloh. FOTO FAIZ ANUAR
Sharanizawati menunjukkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan pencen penakat yang diterima daripada PERKESO di kediamanya Sungai Buloh. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


BALU kepada pekerja Jabatan Teknologi Maklumat di Sistem Televisyen Berhad (TV3), Mohamed Shamry Saiful Bahri yang meninggal dunia akibat pendarahan otak pada 20 Mei lalu menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sharanizawati Shaari, 38, menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 dan faedah pencen penakat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah PERKESO Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan di kediamannya di Kuala Selangor, hari ini.

Mohammad Ramli berkata, seperti kelaziman sebaik sahaja mendapat berita kematian Allahyarham, skuad Perkeso Prihatin membuat semakan caruman dan mendapati Allahyarham layak menerima faedah daripada pertubuhan iaitu faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat.

"Bayaran (pencen penakat) yang diterima oleh balu Allahyarham adalah sehingga akhir hayat dan semua bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun.

"Pencen berkenaan juga termasuk perbelanjaan untuk anak Allahyarham sehingga mereka berusia 21 tahun ataupun selepas tamat pengajian ijazah pertama di universiti," katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham Mohamed Shamry dekat sini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, Allahyarham sudah mencarum lebih 18 tahun dan rekod caruman sangat bagus.

Sementara itu, Sharanizawati melahirkan rasa syukur atas bantuan disampaikan oleh Perkeso kerana ia meringankan bebannya.

"Alhamdulillah, terima kasih Skuad Perkeso Prihatin kerana datang ke rumah dan menyerahkan bantuan ini, tidak sangka saya akan mendapat pencen seumur hidup. Ini sangat membantu saya dan anak-anak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kematian suaminya, Sharanizawati berkata Allahyarham meninggal dunia empat hari sebelum hari raya dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

"Dia pergi secara tiba-tiba. Malam sebelum meninggal dunia, dia mengadu sakit kepala dan rebah sebelum dibawa ke hospital.

"Doktor memberitahu ada pendarahan dalam otaknya dan sebelum sempat melakukan pembedahan, dia meninggal dunia," katanya.

Menurutnya lagi, tiga anak lelaki mereka yang berusia lima hingga 11 tahun juga dilihat tenang dan menerima pemergian Allahyarham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 4:44 PM