Hamzah ketika melakukan pemantauan di PTS Manggatal, Kota Kinabalu. - FOTO JUWAN RIDUAN
Hamzah ketika melakukan pemantauan di PTS Manggatal, Kota Kinabalu. - FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti 37 titik pendaratan warga asing membabitkan 10 daerah di negeri ini pada Ops Benteng Covid yang dilancarkan sejak April lalu.

Semua titik pendaratan itu membabitkan 11 kawasan di Sandakan, lima kawasan di Lahad Datu, dan masing-masing empat kawasan di Tawau, Kudat dan Beluran.

Kawasan lain yang turut dikenal pasti adalah Kota Kinabatangan (2), Kota Marudu (2) serta masing-masing satu di Semporna dan Pitas.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dalam 'National Task Force' (NTF) bersama agensi lain yang diketuai Panglima Angkatan Tentera.

Katanya, tujuan utama operasi berkenaan dijalankan adalah bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan memperkukuhkan kawalan sempadan negara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

"Kawalan sempadan ini dilakukan di dua lokasi sempadan daratan iaitu lorong tikus dan lokasi lain yang dikenal pasti menjadi tempat daratan PATI.

"Sepanjang operasi Op Benteng Covid ini, seramai 556 anggota dan pegawai dikerah bagi menjalankan tugasan pemantauan," katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan di Pusat Tahanan Sementara, Manggatal, Kota Kinabalu, hari ini.

Hamzah berkata, kejayaan operasi ini jelas terbukti dengan hanya tiga kes cubaan meloloskan diri masuk ke sempadan negara dikesan.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, sebanyak 14 projek pembangunan fizikal agensi di bawah KDN diteruskan dalam fasa pembinaan membabitkan nilai kos RM1 bilion.

Katanya, ia selari dengan inisiatif KDN yang memfokuskan kerja-kerja naik taraf dan ubahsuai serta penambahan fasiliti sedia ada.

"Sebanyak RM12,996,570 diperuntukkan untuk tujuan itu merangkumi pembaikan kuarters dan pejabat serta stor Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

"Pada April lalu, Perdana Menteri meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta di bawah peruntukan Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) Prihatin bagi kerja naik taraf semua agensi di bawah KDN," katanya.

Hamzah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM31,081,499 diperuntukkan kepada agensi di Sabah.

Untuk rekod, peruntukan berkenaan membabitkan RM27,609,700 kepada Polis Diraja Malaysia, Penjara (RM2,889,299), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (RM53,500) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (RM530,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 5:23 PM