Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ANGGOTA penguat kuasa yang terbabit dalam penyeludupan migran menjadi 'sasaran' seterusnya bagi fasa keempat Ops Covid-19 Benteng yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sudah mengenalpasti penguat kuasa yang terbabit secara langsung dalam penyeludupan migran.

"Maklumat lanjut masih tidak boleh didedahkan, namun kita sudah mengenalpasti penguat kuasa yang terbabit.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap penguat kuasa yang terbabit dalam memudahkan urusan menyeludup migran ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan migran antaranya dengan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

HUZIR pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah
HUZIR pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah

"Mereka juga akan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang tidak membolehkan sebarang ikat jamin ditawarkan.

"Selain itu polis juga akan melihat kewajaran sindiket ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Penggubahan Wang Haram 2001 (AMLATFAPUAA) dalam mengenalpasti perolehan haram serta harta yang dimiliki ahli sindiket ini," katanya.

Menurutnya, operasi yang dijalankan ini membabitkan semua elemen polis dengan kerjasama daripada masyarakat.

"Polis juga sedia berkongsi maklumat dengan agensi penguat kuasa di bawah National Task Force (NTC).

"Polis juga mengalu-alukan maklumat dari masyarakat dengan menyalurkan ke Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) Jabatan Siasatan Jenayah di talian 03-26101510 atau mana-mana balai polis terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 5:13 PM