Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan perang habis-habisan terhadap sindiket pelacuran di negara ini menerusi fasa kedua operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang akan bermula dalam tempoh terdekat.

Perang itu termasuklah tindakan terhadap 55 sindiket pelacuran yang dikesan beroperasi di negara ini.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, sindiket berkenaan paling banyak tertumpu di Pulau Pinang iaitu sembilan sindiket diikuti Selangor (8) dan masing-masing tujuh di Perak dan Johor manakala selebihnya di lain-lain negeri kecuali Perlis dan Terengganu.

Katanya, polis akan mengambil tindakan lebih drastik termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) terhadap sindiket berkenaan.

“Sebelum ini, dari April 2014 hingga Jun tahun ini, 31 individu sudah diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1957 (POCA).

“Dari Januari hingga Mei tahun ini juga, polis sudah menjalankan lebih 2,537 serbuan dalam operasi yang tertumpu di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, majoriti individu yang ditahan pula kebanyakannya membabitkan warga Vietnam, Thailand dan China yang dikesan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Katanya, selepas ini polis akan menggunakan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) bagi membanteras sindiket pelacuran itu.

“Selain sindiket pelacuran membabitkan warga asing, polis turut mengesan kegiatan pelacuran warga tempatan.

“Mereka lazimnya bergerak secara bersendirian dan aktif mempromosikan kegiatan pelacuran menerusi aplikasi media sosial termasuk Wechat,” katanya.

Huzir berkata, sebelum ini polis sudah berjaya menahan 565 warga tempatan terbabit kegiatan pelacuran dan didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Katanya, selepas ini polis akan menggunakan Seksyen 372 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 372A KK, Seksyen 372B KK dan Seksyen 12 atau Seksyen 13 ATIPSOM 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:48 PM