Huzir Mohamed bercakap ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO ASYRAF HAMZAH
Huzir Mohamed bercakap ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO ASYRAF HAMZAH
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TEKONG darat serta laut, ejen selain penyedia rumah transit antara 371 anggota sindiket penyeludupan migran yang ditahan sepanjang empat hari Op Covid-19 Benteng bermula 4 hingga 7 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek ditahan membabitkan 345 lelaki dan 26 wanita warga tempatan, Indonesia, Filipina, Bangladesh serta Myanmar.

"Berdasarkan pecahan, suspek ditahan membabitkan 124 ejen, 102 pembawa, 97 tekong dan 48 penjaga rumah transit atau rumah penampungan.

"Operasi empat hari ini adalah operasi fasa ketiga dijalankan bagi Op Covid-19 Benteng bermula 1 Januari lalu," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Huzir berkata, jumlah keseluruhan ahli sindiket penyeludupan migran yang ditahan sehingga 7 Jun lalu adalah 547.

"Empat kertas siasatan berkaitan jenayah terancang selain 70 kertas siasatan berkaitan penyeludupan migran akan dibuka.

"Individu ditahan berumur 20 hingga 70 tahun," katanya.

Mengulas berhubung pendaratan etnik Rohingya pada 8 Jun lalu di Langkawi, Huzir berkata, pihaknya percaya, sindiket membiarkan bot terbabit hanyut ke perairan Malaysia kerana terputus hubungan dengan tekong darat.

"Ini kerana, 70 individu etnik Rohingya yang juga anggota sindiket penyeludupan migran ini dan berperanan sebagai ejen kemasukan migran sudah ditahan.

"Kita percaya, kerana itu, sindiket menghanyutkan kapal berkenaan. Mereka gagal menghubungi tekong darat yang sepatutnya menyambut mereka di Langkawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 5:11 PM