Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 24 pegawai penguat kuasa ditahan dalam operasi membanteras ancaman keselamatan kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seramai 17 pegawai polis dan lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan.

Menurutnya, selain itu, dua pegawai imigresen juga ditangkap menjadikan jumlah keseluruhan 24 penguat kuasa.

"Kesemua pegawai penguat kuasa ini masih dalam tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk siasatan lanjut berkaitan aktiviti penyeludupan migran.

"Pihak polis percaya dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas ini dapat menghapuskan ancaman keselamatan kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran dan samun berkawan oleh tiga kumpulan penyeludupan dari Geng Otong, Geng Halim dan Geng Husen Maungdaw," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, pihak polis mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat dan sentiasa bersedia dari semasa ke semasa menerima maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran di seluruh negara.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (D3) JSJ Bukit Aman melalui talian hotline 03-26101510 ataupun kepada mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Huzir bersama Timbalan Pengarah Pendakwaan dan Undang-Undang, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid (dua dari kiri), Timbalan Pengarah Risikan/Operasi, Deputi Komisioner Datuk Mohd Roze Shaari dan Timbalan Pengarah Forensik, Databank, DNA dan Perancangan Strategik, Deputi Komisioner Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri ketika sidang media mengenai Kumpulan Jenayah Terancang Penyeludupan Migran di Bukit Aman. FOTO Amirudin Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 5:50 PM