GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


SABAK Bernam hilang status daerah zon hijau apabila satu kes positif Covid-19 direkodkan di mukim Pancang Bedena kelmarin.

Bagaimanapun, satu kes baharu itu kini dipindahkan ke mukim Pasir Panjang.

Sebelum ini pada 28 Mei lalu, Sabak Bernam memperolehi status zon hijau dan menjadi satu-satunya daerah yang berada dalam zon itu di Selangor.

Pertambahan kes baharu itu sekaligus menjadikan tiada lagi zon hijau di Selangor.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook, terdapat tiga kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari semalam.

"Pastikan anda tetap mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dan pakai pelitup muka. Ia satu-satunya benteng melawan jangkitan Covid-19.

"Jangan ambil mudah dan sentiasa berdisiplin! Sayangi kebebasan anda dengan berdisiplin dan bertanggungjawab," katanya.

Selain itu, dua daerah masih berada di zon merah iaitu Hulu Langat dengan 91 kes aktif dan Sepang (68 kes).

Tiada perubahan ketara dalam kenaikan dan penurunan kes di enam daerah zon kuning yang lain iaitu Petaling (18), Gombak (13), Kuala Langat (12), Hulu Selangor (7), Klang (5) dan Kuala Selangor (4).

Sehingga kini, Selangor merekodkan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,968 manakala 1,624 adalah kes sembuh, 219 kes aktif dan 23 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 11:50 AM