GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak 159 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan di Selangor sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Pertambahan kes berkenaan menjadikan kes aktif terkumpul di Selangor kini berjumlah 691 kes.

Menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook, kes baharu itu adalah yang tertinggi yang pernah direkodkan negeri ini sejak pandemik berkenaan menular.

"Sebanyak 159 kes baharu dilaporkan semalam dan jumlah keseluruhan kes di Selangor meningkat kepada 3,173.

"Ini adalah kes baharu tertinggi yang pernah direkodkan bagi Selangor. Semua kes diklasifikasikan sebagai jangkitan tempatan.

"Malaysia pula mencatatkan 869 kes baharu dengan semuanya jangkitan tempatan dan ia juga angka kes harian yang tertinggi pernah direkodkan negara," katanya.

Menurut perkongsian itu, daerah Petaling dan Klang masih lagi mencatatkan peningkatan ketara manakala Sabak Bernam masih kekal sebagai satu-satunya zon hijau.

Katanya, sebanyak 89 kes baru berpunca dari kluster sedia ada; 23 kluster Keladi (baharu); 23 saringan kontak rapat; lapan kluster Menara (baharu); dua saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi dan 14 lain-lain saringan.

Dalam pada itu, daerah Petaling merekodkan kes tertinggi iaitu 336 kes termasuk kes import merentas negeri; Klang (148); Hulu Langat (95); Gombak (79); Kuala Langat (48); Sepang (31); Hulu Selangor (10) dan Kuala Selangor (satu).

Sebanyak 2,458 kes sembuh direkodkan termasuk 279 kes luar negara dan 24 kematian dicatatkan setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 10:34 AM