GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


TIADA kes baharu Covid-19 direkodkan Selangor sehingga 12 tengah hari semalam.

Ia adalah pencapaian kali pertama di Selangor yang sebelum ini menjadi antara negeri yang merekodkan kes Covid-19 paling tinggi di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter menzahirkan kesyukuran atas pencapaian negeri itu.

"Alhamdulillah pertama kali Selangor tidak mencatatkan kes baharu, baik kes tempatan atau import. Tahniah rakyat Selangor, kita harus kekal berdisiplin dan amal penjarakan fizikal. Covid-19 masih berada di sekeliling kita," katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di laman sesawang Menteri Besar, amirudinshari.com, ketiadaan kes berkenaan adalah satu rekod yang sangat memberi inspirasi kepada warga Selangor.

"Tahniah Selangor, tiada kes baharu buat pertama kalinya. Moga terus cemerlang!

"Tiada rahsia untuk kejayaan ini melainkan dengan mengamalkan normal baharu iaitu penjarakan fizikal, menjaga kebersihan diri serta pakai pelitup muka. Tetaplah berdisiplin, jangan gagalkan usaha cemerlang ini," katanya.

Sementara itu, dua mukim di dua daerah

masih kekal berada di zon merah iaitu Semenyih di daerah Hulu Langat dengan 46 kes aktif dan Labu di daerah Sepang (66 kes).

Secara keseluruhan, Hulu Langat masih mempunyai 76 kes aktif dan Sepang 68 kes.

Susulan tiada kes baharu direkodkan semalam, tiada perubahan ketara dalam jumlah kes aktif di tujuh daerah zon kuning iaitu Petaling (18), Gombak (13), Kuala Langat (12), Hulu Selangor (7), Klang (3), Kuala Selangor (3) dan Sabak Bernam (1).

Sehingga kini, Selangor merekodkan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,971 manakala 1,642 adalah kes sembuh, 201 kes aktif dan 23 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 10:14 AM