GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMPEN pelancongan domestik perlu dirancakkan semula selepas kembali bernyawa susulan kerajaan membenarkan rakyat melancong di dalam negara.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ia penting bagi memastikan industri pelancongan dan perhotelan tempatan kembali segar selepas hampir tiga bulan terhenti akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, kerjasama antara pelbagai kementerian dan agensi terutama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan Tourism Malaysia mampu meningkatkan kembali tahap keyakinan rakyat untuk kembali melancong.

"Pengumuman kerajaan cukup dinantikan pemain industri yang sudah tenat kerana pandemik Covid-19 yang jelas mematikan aktiviti pelancongan dan perhotelan tempatan.

"Apabila dibenarkan beroperasi semula, kempen perlu dilakukan lebih banyak dengan tawaran harga yang lebih baik untuk menarik pelancong domestik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, pemain industri pula khususnya penyedia penginapan perlu meningkatkan tahap kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan agar keyakinan rakyat kembali meningkat.

Katanya, sudah tiba masa pemain industri kembali mengaktifkan semula perniagaan masing-masing selepas kebenaran diberikan kerajaan.

"Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kadar pembuangan pekerja pelancongan dan perhotelan seperti yang berlaku sebelum ini.

"Hotel dan resort yang ditutup kembali beroperasi dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan semula terutamanya kepada rakyat tempatan," katanya.

Anggaran kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 lalu adalah sebanyak RM3.37 billion.

Pengumuman kerajaan yang membenarkan aktiviti pelancongan domestik dilakukan bermula Rabu ini mampu menjana semula sektor berkenaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 3:48 PM