Pantai Batu Feringgi
Pantai Batu Feringgi
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Industri pelancongan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh setahun selepas pembukaan semula sempadan sejak Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pembukaan semula sempadan ternyata menghidupkan semula industri pelancongan yang hampir mati sejak dua tahun lalu sekali gus kembali menawarkan pekerjaan kepada warga tempatan yang terjejas.

"Apabila industri kembali hidup, ia akan memberikan peluang kepada pekerja sektor perhotelan untuk kembali mencari rezeki.

"Malah, pembukaan semula hotel yang menamatkan operasi sebelum ini memberi peluang pekerjaan baharu," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, maklum balas diterima daripada pengusaha pelancongan begitu positif malah dijangka lebih baik selepas Ramadan ini.

Katanya, trend tempahan hotel juga semakin meningkat bukan saja dalam kalangan rakyat tempatan malah pelancong asing.

"Pelancong dari Timur Tengah dijangka akan mula melancong selepas tamat Ramadan ini mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan.

"Manfaat ini perlu digunakan sebaik mungkin malah tidak harus leka dengan mengabaikan prosedur kesihatan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:22 PM