KHALID  (lima dari kiri) pada sidang media sempena pelancaran MTF di WTC, semalam.
KHALID (lima dari kiri) pada sidang media sempena pelancaran MTF di WTC, semalam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PAMERAN Pelancongan Malaysia (MTF) mampu melonjakkan semula industri pelancongan yang kini perlahan ekoran penularan wabak Covid-19 akan memberi fokus kepada industri domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif MTF, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, dengan 200 pempamer, pelbagai pakej pelancongan dengan tawaran diskaun menarik ditawarkan kepada pengunjung yang berupaya menarik transaksi sebanyak RM220 juta.

Menurutnya, MTF yakin dapat menarik minat lebih 100,000 pengunjung, sekali gus mampu untuk merangsang semula industri pelancongan domestik yang terkesan dengan Covid-19.

“MTF adalah inisiatif untuk membantu kerajaan merancakkan semula ekonomi, namun dalam masa sama menawarkan pelbagai pakej yang menarik untuk rakyat Malaysia melancong dalam negara.

“Malaysia juga memiliki lokasi pelancongan yang menarik dan disebabkan itu ia menjadi pilihan pelancong. Kini adalah masanya untuk rakyat juga turut membantu meningkatkan ekonomi setempat,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran MTF, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.

Dalam majlis sama juga, Mohd Khalid turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ditofa iaitu platform digital pelancongan terbaru yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haffiz Halim.

MTF bermula esok hingga Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu akan menitikberatkan aspek kesihatan dengan kerjasama daripada pengurusan WTC yang turut menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pengunjung.

Mohd Khalid berkata, dengan tema #MalaysiaIsSafe, MTF menjadi platform terbaik untuk mempromosikan industri pelancongan kepada rakyat tempatan selain membuka ruang untuk pelancong luar menikmati keindahan negara ini.

“Rantaian pemain industri akan mendapat manfaat dengan penganjuran ekspo ini kerana aliran tunai yang akan diterima sepanjang MTF mampu memberi nafas semula kepada industri yang terjejas teruk.

“MTF yakin dengan penyertaan syarikat korporat, syarikat penerbangan dan agensi pelancongan, ia akan memulihkan semula kelembapan ekonomi tempatan dan momentum lonjakan ini diharap dapat dikekalkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 7:00 AM