GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


JIKA rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan penjarakan sosial, Malaysia berkemungkinan boleh memutuskan rantaian Covid-19 tanpa memerlukan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pengalaman beberapa negara berdepan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) ia berjaya diputuskan tanpa memerlukan vaksin.

Menurutnya, tempoh menghasilkan vaksin ketika ini memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun atau lebih.

"Ada kemungkinan tanpa menggunakan vaksin sebaliknya kita patuh pada SOP dan saranan kesihatan... boleh memutuskan jangkitan Covid-19 tanpa vaksin.

"SARS dan MERS-CoV pun kita berjaya putuskan tanpa vaksin, jadi tidak mustahil boleh putuskan Covid-19 tanpa vaksin tetapi jika ada vaksin lagi bagus," katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan supaya semua mematuhi SOP, amalkan penjarakan sosial satu meter atau dua meter lebih bagus ditambah memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyarankan supaya amalkan 3S iaitu elakkan kawasan yang sesak, elakkan kawasan yang sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat.

"Amalkan juga 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan," katanya.

Katanya, ini penting dalam memulihkan ekonomi negara tanpa vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:44 PM