Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


PENGHASILAN ubat di sebuah makmal di China yang dipercayai mampu memulihkan pesakit Covid-19 masih di peringkat awal, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dimaklumkan mengenai pembangunan ubat di negara berkenaan.

"Tapi ia masih di peringkat awal. Banyak kajian perlu dijalankan untuk vaksin dan ubat-ubatan.

"Mereka perlu menjalani penyelidikan untuk memastikan ubat itu berkesan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan dan akan mendapatkan maklumat lengkap mengenai kajian itu.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah makmal di China dilaporkan sedang membangunkan ubat yang dipercayai mampu memulihkan pesakit Covid-19 tanpa menggunakan vaksin.

DR NOOR Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
DR NOOR Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Wabak yang buat pertama kali muncul di republik itu pada penghujung tahun lalu, sebelum merebak ke seluruh dunia, mendorong perlumbaan antarabangsa dengan matlamat mencari rawatan dan vaksin.

Ubat berkenaan diuji oleh saintis di Universiti Peking, China bukan hanya memendekkan tempoh masa penyembuhan, malah 'menawarkan' imuniti jangka pendek daripada dijangkiti virus itu, demikian menurut penyelidik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 5:56 PM