Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga dari kiri) pada majlis ringkas sumbangan pelitup muka dan pek makanan untuk petugas barisan hadapan Covid-19. FOTO Mohd Amin Jalil.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga dari kiri) pada majlis ringkas sumbangan pelitup muka dan pek makanan untuk petugas barisan hadapan Covid-19. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


PENYEWA premis dan kediaman di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan menikmati pengecualian bayaran sewa sebulan lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebelum ini pengecualian itu hanya diberikan untuk Mac dan April, tetapi kini ditambah sebulan lagi iaitu pada Mei.

Katanya, antara premis terbabit termasuk gerai PBT, Pasar Besar Seremban dan Rumah Pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Pengecualian sewa premis ini akan membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta.

"Ia bagi membantu meringankan beban penyewa yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bersyarat (PKPB)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggu Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, lebih banyak pasar malam dan pasar pagi akan dibuka jika semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata, peniaga dan pengunjung perlu mematuhi SOP ditetapkan terutama dari segi penjarakan sosial dan penggunaan pelitup muka.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat terdapat keraguan dalam kalangan orang ramai terhadap pembukaan pasar malam kerana ada pihak yang tidak mematuhi SOP.

"Kita berharap penganjur, peniaga dan pengunjung pasar malam memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, Aminuddin menerima sumbangan pelitup muka dan pek makanan dari sebuah syarikat tempatan untuk keperluan petugas barisan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 5:27 PM