Azrul Affandi Sobry


JAUH di mata, dekat di hati. Itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan keutuhan cinta pasangan jarak jauh (PJJ) dalam melayari kehidupan rumah tangga mereka, apatah lagi dalam keadaan negara berdepan wabak Covid-19 yang mengehadkan banyak perkara.

Larangan merentas negeri, misalnya mencetus kerisauan ramai orang termasuk PJJ kerana sebelum ini kerajaan pernah mengumumkan untuk menolak apa saja permohonan rentas negeri terutama pada musim perayaan.

Tersentak dengan pengumuman itu, ramai pasangan meluahkan perasaan mereka di media sosial mengenai apakah nasib mereka kerana sudahlah berada jauh daripada pasangan dan anak, ditambah pula dengan larangan menyekat pertemuan mereka.

Mujurlah, baru-baru ini kerajaan mengumumkan untuk membenarkan beberapa kriteria rentas negeri termasuk kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan bermula 1 Jun lalu.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, ramai pasangan mengambil kesempatan ini membuat permohonan untuk merentas negeri bertemu keluarga tersayang selepas lama memendam rindu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

Bukan kerinduan biasa kerana siapa saja yang berpisah jauh dengan keluarga pasti merasai derita rasa hati itu, apatah lagi hanya panggilan telefon dan sembang video saja menjadi perantara mereka selama ini.

Bagi polis bantuan, Nurulaain Mohd Bakeri, pengumuman membenarkan rentas negeri itu satu berita baik yang benar-benar melegakan kerana dia berada di Kajang, Selangor sedangkan suaminya, Syazwi Athir Abdul Hanif bertugas sebagai kakitangan penjara di Simpang Renggam, Johor.

NURULAAIN membuat panggilan video dengan suaminya.
NURULAAIN membuat panggilan video dengan suaminya.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suami akan balik setiap dua minggu tetapi sejak PKP, susah sangat nak dapat peluang bertemu dengannya.

"Dulu, kalau dia balik dapat lepaskan kerinduan dengan keluar bersama dan dapat lihat mukanya secara berdepan walaupun sehari dua, tapi dapatlah juga redakan rasa rindu itu.

"Dalam PKP, memanglah tak dapat keluar ke mana-mana tapi dapat jumpa dan tengok wajah dia secara berdepan, sudah cukup baik. Apabila larangan rentas negeri dikuatkuasakan, saya mula risau tak dapat berjumpa dengan suami," katanya.

Nurulaain berkata, apabila kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri, kerisauannya reda kerana suaminya sudah memberi jaminan akan pulang setiap dua minggu sekali.

Sementara itu, kerani pentadbiran di Universiti Putra Malaysia (UPM), Nik Norhafiza Nik Razali, berkata status PJJ selama lebih 11 tahun menjadikan dirinya sudah terbiasa dengan kehidupan begitu.

Ini kerana, meskipun jarak jauh, suaminya, Azrul Ekhuan Eliah yang bertugas sebagai Pegawai Daerah Perhutanan di Gerik akan pulang bertemu keluarga setiap minggu.

NIK Norhafiza sudah 11 tahun tinggal berjauhan dengan suaminya.
NIK Norhafiza sudah 11 tahun tinggal berjauhan dengan suaminya.

"Itu dulu, tapi dalam PKP, susah dia nak balik kerana ada larangan merentas negeri dan pelbagai prosedur perlu dipenuhi jika mahu balik bertemu keluarga.

"Ya… memang saya sudah biasa sebab sudah 11 tahun tapi hati isteri mana yang tidak rindukan suaminya jika terlalu lama tidak dapat berjumpa.

"Setiap malam, hanya panggilan video menjadi jambatan kasih sayang antara kami anak beranak dengan suami di sana. Kasihan pada anak yang rindukan ayah mereka," katanya yang mempunyai lima anak.

Katanya, mujurlah apabila kebenaran rentas negeri diberikan, suaminya kini dapat pulang setiap minggu seperti selalu dan itu tentu sekali dapat mengeratkan kasih sayang mereka.

Apapun, pelbagai kelonggaran mula diberikan kerajaan sewajarnya digunakan dengan baik, sekali gus mengamalkan normal kehidupan baharu kerana peperangan memutuskan rantaian Covid-19 masih berliku jalannya.

Jika selepas 9 Jun lebih banyak sektor dibuka dan kelonggaran diberikan, ia bukan penamat kepada peperangan ini kerana kita mesti terus jaga kita.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 8:05 PM