FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohamed Farid Noh


KADAR pengangguran di Johor meningkat 0.5 peratus kepada 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, data kadar pengangguran itu adalah hasil cerapan dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi input Tenaga Buruh Malaysia.

Katanya, tahun ini kadar pengangguran di Johor diunjurkan sama dengan Malaysia iaitu lingkungan 3.5 hingga 5.5 peratus berikutan impak penularan pandemik Covid-19.

"Oleh itu, kerajaan Johor mempunyai pelbagai perancangan dan strategi untuk membangun dan memulihkan semula ekonomi Johor yang terjejas akibat pandemik itu.

"Antara fokus utama kerajaan negeri termasuk memberi tumpuan dalam bidang ekonomi digital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, ekonomi digital kini menjadi platform dan era baharu ekonomi masa depan.

"Ekonomi digital ini adalah sebahagian daripada normal baharu pasca Covid-19.

"Amat rugi jika kerajaan Johor tidak merebut peluang ini kerana dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), semua urusan berada di hujung jari.

"Sama ada golongan yang berumur, pertengahan, remaja dan muda, semuanya mengadaptasikan diri dengan platform ekonomi digital.

"Bayangkan, hendak membeli barangan, tidak perlu lagi ke pusat beli-belah, hanya pesan menerusi aplikasi dalam talian dan barangan terus dihantar ke muka pintu," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, Tabung Bencana Negeri Johor untuk menangani krisis Covid-19 menerima sumbangan terkumpul berjumlah RM5.78 juta setakat ini.

"Sumbangan berkenaan diberikan dalam bentuk wang tunai dan peralatan masing-masing berjumlah RM2.48 juta dan RM3.3 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:59 PM