Petugas kesihatan melakukan suntikan vaksin kepada penerima. FOTO AIZUDDIN SAAD
Petugas kesihatan melakukan suntikan vaksin kepada penerima. FOTO AIZUDDIN SAAD
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sehingga semalam sebanyak 50 peratus rakyat negeri ini sudah menerima vaksin lengkap manakala 81 peratus menerima satu dos vaksin Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sehubungan itu berharap momentum vaksinasi negeri ini diteruskan bagi mencapai imuniti kelompok.

"Alhamdulilah, sebanyak 50 peratus penduduk negeri ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin semalam.

"Ini adalah momentum yang bagus untuk Johor," katanya menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.

Semalam, Hasni dilaporkan berkata, Johor dijangka beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu ini, selepas dijangka menerima 1.9 juta dos vaksin Covid-19.

Hasni berkata, Johor menjangkakan boleh mencapai liputan 100 peratus dos pertama pada hujung bulan ini dan lengkap dua dos pada Oktober.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilapor mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri termasuk Johor ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 1:41 PM