Lalulintas di sekitar Pusat Bandaraya Johor Bahru.
Lalulintas di sekitar Pusat Bandaraya Johor Bahru.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Ekonomi Johor diunjurkan berkembang antara tiga hingga lima peratus, tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ia berdasarkan unjuran di peringkat nasional yang dikemaskini oleh Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu pada tiga hingga empat peratus.

"Ia berbanding prestasi ekonomi Johor yang menguncup kepada 4.6 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus, di peringkat nasional, tahun lalu.

"Daripada segi nilai, ekonomi Johor mencatatkan nilai sebanyak RM128 bilion iaitu penurunan sebanyak RM 6.2 bilion, tahun lalu.

"Bagaimanapun, ekonomi Johor tahun ini kekal pada landasan pemulihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung prestasi ekonomi Johor pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.

Hasni yang juga Adun Benut berkata, kedudukan kewangan Johor adalah pada tahap stabil dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan (Rizab Negeri) berjumlah RM 1.38 bilion, berdasarkan penyata kewangan pada 17 Ogos lalu.

Katanya, prestasi hasil Kerajaan Johor yang dikutip sehingga 17 Ogos adalah berjumlah RM 1.05 bilion atau 65.29 peratus berbanding anggaran asal.

"Bagi prestasi perbelanjaan mengurus pula adalah sebanyak RM865.80 juta dengan peratusan sebanyak 46.62 peratus.

"Prestasi perbelanjaan menunjukkan peningkatan sebanyak RM68.10 juta berbanding perbelanjaan pada tarikh yang sama tahun lalu.

"Berdasarkan kepada prestasi berkenaan, kedudukan kewangan Johor ketika ini berada pada kedudukan surplus dengan lebihan berjumlah RM184.72 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:30 PM