PENGGUGURAN keahlian dan jawatan Syed Saddiq masih dalam pertikaian yang menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli akar umbi. FOTO Arkib NSTP
PENGGUGURAN keahlian dan jawatan Syed Saddiq masih dalam pertikaian yang menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli akar umbi. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


TINDAKAN Ketua Armada Bahagian Ampang, Anas Akashah Nazri menyatakan sokongan kepada kenyataan Armada Selangor, semalam tidak mewakili akar umbi.

Ketua Armada Bersatu Lembah Jaya Selatan, Bahagian Ampang, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata, sokongan itu dibuat tanpa perbincangan bersama ketua-ketua cawangan dan akar umbi.

"Tindakan beliau (Anas Akashah) adalah tidak sama sekali mewakili suara ketua-ketua Armada cawangan dan ahli akar umbi Armada Ampang.

"Sebarang kenyataan atau sokongan dikeluarkan menggunakan kapasiti Ketua Armada Bahagian hendaklah dibincang dan dipersetujui secara majoriti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Armada Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil, Adhif Syan Abdullah mengeluarkan kenyataan media meminta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhenti bercakap atas tiket Armada kerana beliau bukan lagi Ketua Armada Nasional.

Kenyataan itu turut disokong oleh 15 Ketua Armada Bahagian termasuk Anas Akashah.

Mengulas lanjut, Muhammad Syafiq berkata, pengguguran keahlian dan jawatan Syed Saddiq masih dalam pertikaian yang menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli akar umbi.

"Pada ketika ini, sokongan hendaklah diberikan kepada Syed Saddiq dalam menghadapi situasi sukar ini.

"Saya meminta agar semua kembali kepada matlamat asal parti dan memperkasa agenda rakyat," katanya.

Katanya, semua pihak wajar mendapat keadilan termasuk hak membela diri dan segala tindakan itu adalah berdasarkan perlembagaan parti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 2:40 PM