SYED Saddiq. FOTO Luqman Hakim Zubir
SYED Saddiq. FOTO Luqman Hakim Zubir
Rafiqah Dahali

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menggesa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima hakikat beliau dilucutkan keahlian daripada parti itu.

Ketuanya, Isquzawan Israq Arsit berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga perlu menghormati keputusan dan perlembagaan parti bagi mengelakkan kekeliruan.

"Kami berharap beliau dapat menerima hakikat sebenar bahawa beliau dilucutkan keahlian daripada parti.

"Justeru, adalah lebih baik beliau dan penyokongnya berhenti daripada terus menggunakan nama Armada Bersatu kerana ia hanya akan mengelirukan ahli," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, pihaknya turut berterima kasih kepada Syed Saddiq atas jasa dan sumbangan beliau ketika menerajui sayap parti itu.

"Armada Bersatu Sabah juga menghormati Syed Saddiq di atas kepimpinan beliau sepanjang menerajui Kementerian Belia dan Sukan yang banyak membantu gerakan belia," katanya.

Katanya, Armada Bersatu Sabah turut mengekalkan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merangkap presiden parti berkenaan.

Terdahulu, dilaporkan Armada Bersatu menegur Syed Saddiq Syed Abd Rahman supaya tidak lagi mencampuri urusan parti itu berikutan beliau bukan lagi ahli.

Exco Armada Malaysia, Mohd Muzzammil Ismail, berkata pihaknya yang mengecam sidang media dianjurkan Syed Saddiq semalam kesal dengan tindakan bekas ketua sayap parti itu yang didakwa banyak memutarbelitkan fakta berhubung perlembagaan Bersatu.

Syed Saddiq antara lima pemimpin yang digugurkan keahlian mereka daripada Bersatu selain Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 1:15 PM