JAMALUDIN menyediakan mi kari di warungnya di Jalan Masjid Tanah-Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
JAMALUDIN menyediakan mi kari di warungnya di Jalan Masjid Tanah-Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Peniaga di negeri ini sudah bersedia menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok dan tidak menjangkakan kemerosotan perolehan ketara kerana mereka masih dibenarkan beroperasi tetapi dengan kehadiran pelanggan terhad.

Jamaludin Hamzah, 58, berkata, perniagaan makanan dan minuman yang diusahakannya di Jalan Masjid Tanah-Pengkalan Balak, Masjid Tanah, dekat sini, sejak tiga tahun lalu akan beroperasi seperti biasa meskipun PKPB dikuatkuasakan.

"Insya-Allah jumlah pelanggan tidak akan susut banyak kerana masih ada pelanggan yang boleh makan di warung dan ada juga yang membelinya secara bungkus.

"Begitu juga yang membelinya secara pesanan pembayaran ketika penghantaran yang dijangka bertambah berbanding yang datang sendiri di warung," katanya ketika ditemui di warungnya, hari ini.

Menurutnya, PKPB lebih longgar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dari 18 Mac hingga 11 Jun lalu yang menyaksikan warungnya tidak beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.

Seorang lagi peniaga, Amieza Senin, 36, berkata, perniagaannya beroperasi seperti biasa tetapi dia menjangka jumlah pelanggan yang hadir di warung akan mengalami penyusutan namun tidak ketara.

"Jumlah pelanggan yang membeli secara bungkus dijangka bertambah.

"Sekurang-kurangnya kami masih dapat berniaga dan ia jauh lebih baik daripada langsung tiada peluang untuk berniaga semasa PKP dilaksanakan sebelum ini," katanya ketika ditemui di warungnya di Pantai Puteri, Tanjung Kling, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 2:37 PM