Pasar Jalan Raja Bot , Chow Kit, 28 April lalu. FOTO Bernama
Pasar Jalan Raja Bot , Chow Kit, 28 April lalu. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


MULAI esok Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit dibenarkan beroperasi semula bermula 6 pagi hingga 2 petang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pasar berkenaan akan beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan Khamis untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menyahkuman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, semua pemegang lesen, pekerja, pembeli dan pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak risiko penularan jangkitan Covid-19.

"Pelesen dan pekerja mestilah memasuki pasar melalui pintu masuk utama dan keluar yang ditentukan saja bagi memastikan saringan suhu badan dapat dilaksanakan.

"Pelesen mestilah menyediakan cecair pembasmi kuman di hadapan gerai masing-masing setiap masa.

"Pelesen dan pekerja mestilah memakai pas disediakan, pelitup muka dan sarung tangan setiap masa ketika berada dalam pasar itu," katanya dalam kenyataan notis, hari ini.

Beliau berkata, pembeli dan pengunjung juga digalakkan memakai pelitup muka untuk keselamatan mereka.

"Pembeli dan pengunjung hanya dibenarkan berada dalam pasar dalam tempoh 30 minit saja.

"Sentiasa patuhi penjarakan sosial satu meter antara satu sama lain sepanjang masa termasuk ketika proses mengangkat dan memunggah barang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 11:33 AM