GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TIADA keistimewaan diberikan kepada pengusaha kedai makan seperti 'restoran mamak' selepas dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), meskipun premis itu popular.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, polis dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan pemantauan bagi mengesan mana-mana kedai makan dan restoran yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada boleh dikenakan kepada pengusaha yang didapati ingkar SOP dikeluarkan kerajaan.

"Tiada keistimewaan termasuk restoran mamak walaupun popular kerana peraturan baru perlu dipatuhi oleh pengusaha dan pelanggan.

"Pengusaha restoran kena patuh untuk tutup 10 malam, selain amalkan penjarakan sosial, ambil suhu selain tulis nama nombor telefon," katanya.

Restoran kini dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam selain diarahkan untuk mematuhi SOP dikeluarkan kerajaan bagi mengelak penularan dalam kalangan pelanggan dan pengusaha.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SOP kedai gunting rambut masih diperhalusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri.

Katanya, sehingga SOP itu dikeluarkan, arahan tidak dibenarkan beroperasi untuk kedai gunting rambut masih terpakai.

"Tunggu MKN bentangkan (SOP) jika sudah bersedia dan selepas itu baru (kerajaan) putuskan (untuk operasi).

"Tarikh beroperasi juga bergantung pada SOP dan setakat ini masih terlarang termasuk (perkhidmatan gunting rambut) di rumah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 3:58 PM