ROSOL Wahid (tengah) menunjukkan aplikasi  'Price Catcher' yang dibangunkan bagi membantu pengguna membuat perbandingan harga. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
ROSOL Wahid (tengah) menunjukkan aplikasi 'Price Catcher' yang dibangunkan bagi membantu pengguna membuat perbandingan harga. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


LEBIH 432 harga barangan keperluan pengguna dipaparkan menerusi aplikasi 'Price Catcher' bagi membolehkan orang ramai membuat perbandingan harga bagi mendapatkan harga lebih berpatutan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, maklumat mengenai harga barangan itu dikutip 1,100 Pegawai Pemantau Harga (PPH) di seluruh negara secara harian, mingguan dan bulanan.

Katanya, ia membabitkan perbandingan harga di pasar raya, pasar awam, pasar basah dan kedai runcit terpilih sekali gus dapat menjimatkan masa serta kos pengguna.

"Dengan adanya 'Price Catcher ini, pengguna tidak perlu lagi datang dan buat perbandingan harga misalnya antara Sabasun, Giant atau pasar awam, maknanya ia lebih menjimatkan masa dan memudahkan kerja.

"Antara ciri terkini adalah kemudahan perkongsian maklumat carian harga melalui media sosial dan hebahan mengenai perubahan harga minyak atau maklumat kepenggunaan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di Pasaran Sabasun di Ajil, Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurut Rosol, aplikasi mudah alih 'Price Catcher' itu mula dibangunkan sejak 2018 menggunakan platform Android dan iOS.

Katanya, penggunaan aplikasi itu secara tidak langsung dapat membantu pengguna merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan selain menggalakkan peniaga beretika dan meletakkan harga munasabah.

"Orang ramai disarankan menggunakan aplikasi ini kerana ia bukan sahaja memaparkan harga antara premis berlainan, tetapi dilengkapi dengan maklumat harga lebih terkini dan sentiasa dikemas kini dengan ciri-ciri terbaru bagi membantu pengguna merancang perbelanjaan," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, Rosol berkata, kementerian mengenal pasti 10 jenis barangan seperti ayam, telur, daging dan kelapa bagi pelaksanaan skim itu di Terengganu berkuat kuasa semalam hingga 3 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 8:29 PM