Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menambah baik aplikasi mudah alih perbandingan harga 'Price Catcher'.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bagi meningkatkan penggunaan aplikasi digital perbandingan harga dalam kalangan masyarakat yang pada masa ini dilihat masih rendah.

Katanya, setakat ini aplikasi itu telah dimuat turun sebanyak 293,499 pengguna dan ia adalah jumlah yang amat sedikit berbanding populasi negara.

"KPDN memutuskan bahawa bagaimana kita dapat menambat baik aplikasi Price Catcher ini menjadi lebih informatif, interaktif supaya pengguna dapat gunakan sebagai panduan untuk melihat, memantau dan membuat pilihan.

"Dalam aplikasi ini ada perbandingan harga 480 barangan yang pemantauannya dibuat secara harian, mingguan serta bulanan. Melalui aplikasi itu juga pemantauan dibuat di 1,500 premis di seluruh negara.

"Seorang pengguna boleh gunakan aplikasi itu dan dapat maklumat barangan pilihan mereka dalam radius 10 kilometer bagi Semenanjung dan 20 kilometer bagi Sabah dan Sarawak.

"Minggu depan kita akan jumpa pemegang taruh dan meletakkan tempoh masa untuk meningkatkan penggunaan aplikasi ini dikalangan masyarakat," katanya ketika ditemui pada Program Outreach Sara Hidup di bawah inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional peringkat negeri Johor 2023 di sini, hari ini.

Menurut Armizan, sejak dibangunkan pada 2018, Price Catcher melalui dua proses penambahbaikkan sistem dan penambahbaikkan kali ini akan dilakukan dari segi promosi dan penglibatan sesi libat urus bersama pemegang taruh, pelanggan, persatuan pengguna dan pemain industri.

Price Catcher menggunakan platform Android dan iOS yang mempunyai lima komponen sama ada peringkat pasar basah, hiper market, super market, mini market dan kedai runcit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 4:57 PM