KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Zubir Hamsa melakukan pemeriksaan terhadap peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Zubir Hamsa melakukan pemeriksaan terhadap peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 180 premis di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Zubir Hamsa berkata, pemeriksaan dilakukan 18 anggota penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, sembilan pegawai KPDNHEP Gombak serta 10 pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di lokasi berkenaan bermula jam 2 hingga 4 pagi tadi.

"Pemeriksaan itu meliputi pematuhan peniaga dalam menggunakan alat timbang yang sah serta tumpuan bagi melihat sama ada berlaku aktiviti mencatut di pasar ini.

"Sebanyak 180 premis diperiksa dengan empat notis di bawah Akta Pencatutan 2011 dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat lanjut perubahan harga.

"Peniaga-peniaga yang menerima notis ini diberi tempoh dua hari bagi memberi maklum balas dan menjelaskan mengapa barangan jualan mereka mengalami kenaikan harga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zubir berkata, selain itu, seramai lapan peniaga lain diberi amaran atas kesalahan kecil.

"KPDNHEP juga mengeluarkan kompaun terhadap tiga peniaga kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati kebanyakan peniaga di pasar borong ini mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan," katanya.

Beliau menasihatkan semua peniaga termasuk pemborong dan peruncit supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bagi tujuan mencatut.

"Peniaga juga diminta bertimbang rasa dalam menjalankan perniagaan dan berurusniaga secara berhemah.

"Bagi pengguna pula, mereka dinasihatkan supaya membuat perbandingan harga barang sebelum membuat keputusan pembelian.

"Perbandingan harga ini boleh dibuat melalui aplikasi 'Price Catcher' yang diperkenalkan oleh KPDNHEP bagi mendapatkan harga dan premis yang terbaik sebelum berbelanja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 1:21 PM