Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN seorang penganggur mencuri wang tabung di Surau Ar-Rahmaniah, Gombak, semalam, mengundang padah apabila dia ditahan orang awam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam yang melihat kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan di hadapan surau itu jam 3.35 petang.

"Lelaki itu (orang awam) memerhatikan suspek berusia 30 tahun masuk ke dalam surau melalui pintu pagar tidak berkunci sebelum mencuri wang tabung surau menggunakan pita pelekat dibawanya.

"Saksi berkenaan bersama penduduk setempat berjaya menahan suspek di hadapan surau itu dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya merampas satu pita pelekat berwarna putih dan wang tunai berjumlah RM141 dalam tangkapan itu.

"Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai tujuh rekod jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 1:05 PM