Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Pedas yang dimaklumkannya pada 2 Mei lalu membabitkan pekerja kilang di Pedas, Negeri Sembilan, sudah menjangkiti 60 individu.

Menurutnya, kluster itu mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang itu didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April lalu.

"Beliau mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian Covid-19 dijalankan pada 10 April. Pada 12 April, keputusan ujian pengesanan Covid-19 disahkan positif.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan terbabit dijalankan. Sehingga hari ini sehingga jam 12 tengah hari, seramai 786 individu disaring.

"Mereka terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga masing-masing. Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan. Kes-kes positif kluster ini membabitkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Memperincikan kes jangkitan itu, Noor Hisham berkata, seramai 25 kes membabitkan warga Nepal, Bangladesh (18), Indonesia (8) dan Myanmar (2).

Katanya, punca jangkitan bagi kluster ini masih dalam siasatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 5:19 PM