WAN Abdul Halim menternak arnab dan menjual daging arnab panggang sepanjang Ramadan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
WAN Abdul Halim menternak arnab dan menjual daging arnab panggang sepanjang Ramadan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi


MULA menternak arnab disebabkan permintaan menggalakkan pelanggan, kini Wan Abdul Halim Wan Yaakub menjual daging ternakan itu untuk penggemar terutama ketika Ramadan.

Menurutnya, dia bermula dengan empat arnab jenis New Zealand White, sebelum berkembang hingga mempunyai 50 arnab pedaging itu kira-kira setahun selepas itu.

Wan Abdul Halim, 35, berkata, Ramadan ini dia mula menjual daging arnab panggang di sekitar Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa.

"Meskipun menerima permintaan dari luar Kota Bharu, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlangsung menyukarkan saya bergerak, jadi saya terpaksa menolaknya.

"Namun untuk permintaan luar Kelantan seperti Johor dan Kedah, saya akan hantar melalui pos, hanya bagi daging arnab sejuk beku," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Sejak awal Ramadan lalu, peniaga itu sudah menjual 22 arnab panggang pada harga antara RM45 hingga RM65.

Katanya, hanya arnab yang berusia 70 hingga 90 hari dengan berat dua kilogram sahaja akan disembelih dan dia melakukan semua proses bermula menyembelih hingga mencuci, memerap dan memanggang," katanya.

Wan Abdul Halim berkata, kebanyakan pelanggan menyukai daging arnab disebabkan isinya yang manis selain rendah kolestrol dan lemak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 2:31 PM