MOHD Amiruddin menyiapkan lemak bakar yang dijual di gerainya di bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad  IV.  FOTO Fathil Asri.
MOHD Amiruddin menyiapkan lemak bakar yang dijual di gerainya di bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO Fathil Asri.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Bukan saja kuih-muih menjadi daya tarikan ketika berpuasa, lemak bakar di bazar Ramadan turut mendapat tumpuan orang ramai kerana keenakannya.

Lemak daripada daging dibakar dan dicucuk di lidi seperti sate ternyata mempunyai peminatnya tersendiri.

Bagi peniaga, Mohd Amiruddin Deris, 31, setiap kali Ramadan gerai jualannya sering kali menjadi tumpuan orang ramai membeli lemak bakar.

Katanya, bagi memenuhi permintaan pelanggan, pada hari biasa dia perlu menyediakan 75 kilogram (kg) lemak daging import, manakala pada hari minggu pula sebanyak 100kg yang diperoleh daripada pembekal barangan sejuk beku.

LEMAK bakar yang dijual mempunyai peminat tersendiri. FOTO Fathil Asri.
LEMAK bakar yang dijual mempunyai peminat tersendiri. FOTO Fathil Asri.

“Meskipun di bazar ini mempunyai tiga lagi gerai yang turut menjual lemak bakar, namun kebanyakan pembeli lebih memilih untuk merasai keenakan lemak bakar yang dijual di gerai milik saya.

“Boleh dikatakan, saya menjadi perintis kepada peniaga lain di bazar ini untuk turut menjual lemak bakar kerana mendapat sambutan pengunjung terutama pada bulan Ramadan.

“Sudah 12 tahun saya berniaga di bazar ini dan setiap kali Ramadan kebanyakan pengunjung sudah mengenali saya dan akan mencari untuk membeli lemak bakar. Ia habis dijual hampir setiap hari.

“Selain lemak bakar, saya juga menjual daging bakar dan ayam percik. Harga lemak bakar yang dijual RM5 satu cucuk manakala daging bakar dan ayam percik masing-masing berharga RM7,” katanya.

Mohd Amiruddin berkata, resipi untuk memerap lemak dan daging bakar diilhamkan abangnya, Khairul Anwar Deris, 40.

“Bagi memastikan semua bahan yang diperap benar-benar diserap di dalam lemak dan daging, ia memerlukan masa selama 12 jam,” katanya.

PELANGGAN memilih pelbagai daging lemak bakar yang dijual. FOTO Fathil Asri.
PELANGGAN memilih pelbagai daging lemak bakar yang dijual. FOTO Fathil Asri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 4:52 AM