Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KLUSTER perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling mencatatkan pertambahan 24 kes baharu positif Covid-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 19 kes daripada generasi kedua manakala lima kes daripada generasi ketiga.

"Dari kluster itu juga, sebanyak 35,913 sampel diambil dan diuji oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Hasil ujian saringan dilakukan, seramai 2,311 didapati positif Covid-19 yang membabitkan lima generasi," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Kluster berkenaan adalah kluster terbesar jangkitan wabak Covid-19 di negara setakat ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, pusat bandar utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus merekodkan pertambahan kes baharu dengan satu kes lagi dilaporkan, hari ini.

KUMPULAN tabligh. FOTO Osman Adnan
KUMPULAN tabligh. FOTO Osman Adnan

Beliau berkata, ia juga membabitkan 80 kes di luar PKPD menjadikan jumlah terkumpul kes positif di kawasan itu 181 kes.

"Kluster (PKPD) Selayang baru pula tiada pertambahan kes, iaitu kekal 52 positif dan 36 kes membabitkan bukan warganegara," katanya.

Katanya, kes rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara juga mencatatkan pertambahan satu kes semalam, menjadikan keseluruhan 334 kes positif jangkitan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 6:03 PM