PENUMPANG memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga gelombang kedua penularan Covid-19 tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad
PENUMPANG memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga gelombang kedua penularan Covid-19 tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid


SERAMAI 334 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah yang positif itu adalah hasil ujian saringan sejak 3 April hingga hari ini.

"Setakat ini, jumlah rakyat Malaysia pulang dari luar negara yang dikuarantin adalah seramai 30,050 individu.

"Seramai 16,524 daripadanya sudah pun tamat tempoh kuarantin 14 hari dan daripada jumlah itu 334 individu didapati positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya, hari ini.

Dalam sidang media sama, Noor Hisham turut mengumumkan angka kemas kini bagi dua lokaliti bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Lokaliti pertama ialah Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pusat Bandar Utara iaitu di daerah Kepong ada pertambahan lapan kes. Satu daripada kes itu adalah di luar kawasan PKPD berkenaan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif bagi lokaliti itu ialah 189 kes yang mana 81 daripadanya adalah di luar kawasan PKPD. Ia membabitkan 115 warga asing dengan satu kematian warga asing.

"Lokaliti kedua ialah di Selayang Baru. Tiada pertambahan kes hari ini. Jumlah kes positif adalah 52 kes membabitkan 36 warga asing," katanya.

Bagi kluster perhimpunan Sri Petaling pula, katanya, bilangan sampel diambil setakat ini sebanyak 36,236 sampel dan daripada jumlah itu kes positif ialah 2,337 membabitkan lima generasi.

Sementara itu, beliau berkata daripada 16,550 pelajar, guru dan kakitangan membabitkan 360 madrasah serta sekolah tahfiz yang sudah dikenalpasti, seramai 9,423 sudah disaring dan diuji iaitu bersamaan 56.9 peratus

"Daripada jumlah itu, didapati 423 individu iaitu 4.5 peratus adalah positif Covid-19. Bagi kluster Covid-19 yang aktif di Malaysia sehingga 7 Mei, Kampung Sungai Lui ada pertambahan 13 kes baharu menjadikan jumlah 174 kes.

"Manakala kluster pengawal keselamatan Maluri ada pertambahan tujuh kes menjadikan jumlah kes adalah 10 kes. Dua kluster sudah tamat tempoh pemantauan iaitu kluster Seksyen 6 Bandar Baru Bangi yang membabitkan jumlah 31 kes dan satu kematian.

"Kluster kedua ialah kluster warga emas di Selangor membabitkan jumlah 36 kes dan lima kes kematian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 6:28 PM