Zuliaty Zulkiffli


KEGIATAN licik anggota Geng Pian yang melakukan kegiatan samun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya kecundang apabila keenam-enam mereka ditahan polis.

Kesemua mereka berusia antara 20-an hingga 30-an itu dipercayai turut melakukan kegiatan samun di tiga daerah iaitu enam di Kubang Pasu dan masing-masing satu kes di Alor Setar dan Pendang.

Mereka dikatakan menggunakan penutup mulut dan hidung (face mask) serta parang untuk melakukan kegiatan samun itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, tangkapan dilakukan bermula 27 April hingga 30 April lalu.

Beliau berkata, suspek pertama ditahan pada 27 April lalu di kawasan di Kampung Belukar, Changlun.

Beliau berkata, berikutan tangkapan itu, sepasukan anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam turut merampas sebuah Proton Saga BLM kelabu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan disembunyikan di dalam semak.

"Pada keesokan harinya, anggota kami mengekori sebuah kenderaan dan menahan seorang lelaki disyaki anggota kumpulan itu untuk membantu siasatan.

"Berikutan hasil siasatan, polis menyerbu sebuah inap desa di Air Hitam, di Jitra yang dipercayai disewa dua rakannya termasuk seorang daripadanya yang dipercayai ketua kumpulan itu yang merancang kegiatan samun berkenaan," katanya ketika ditemui di IPD Kubang Pasu, semalam.

Mohd Ismail berkata, dua lelaki itu dikatakan menyewa inap desa itu untuk bersembunyi selepas menyedari mereka diburu polis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut menemui dadah disyaki syabu dan heroin bersama mereka.

"Selain itu, kita berjaya menahan dua lagi suspek yang juga anggota kumpulan itu antara kira-kira 3 petang hingga 11 malam di lokasi berasingan iaitu di Tunjang dan Changlun, sejurus selepas itu.

"Modus operandi yang dilakukan ahli kumpulan ini ialah dengan menyewa kereta dan menukarkannya dengan nombor pendaftaran palsu sebelum melakukan kegiatan samun di tiga daerah berkenaan," katanya.

Mohd Ismail berkata, sasaran mereka untuk melakukan kegiatan jenayah itu adalah di premis perniagaan dan rumah yang dihuni warga emas, malah mereka turut menggunakan senjata tajam ketika melakukan samun.

Beliau berkata, suspek akan menyewa kenderaan tempatan seperti Perodua Axia dan Myvi serta Proton Saga BLM untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Mereka direman selama 12 hari bermula 27 April lalu untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Ismail berkata, pihaknya turut merampas tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Axia dan Proton Saga BLM yang digunakan untuk kegiatan samun untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati, dua suspek yang ditahan di inap desa itu masing-masing mempunyai lapan rekod kes samun, manakala yang lain masing-masing mempunyai satu kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 8:59 AM
ANTARA tiga kereta digunakan kumpulan penjenayah itu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA tiga kereta digunakan kumpulan penjenayah itu. FOTO Zuliaty Zulkiffli