Muhaamad Hafis Nawawi


HIDUP secara nomad sambil menjalankan kegiatan samun, pecah gudang, pasar raya dan kilang dengan menebuk peti besi menjadi modus operandi lima lelaki warga Vietnam dikenali Geng Tebuk untuk mencari wang mudah.

Malah, hasil samun dan wang dicuri melalui peti besi itu akan dihantar pulang ke negara asal mereka untuk kegunaan ahli keluarga.

Bagaimanapun, kegiatan licik suspek berusia 25 hingga 35 tahun itu terbongkar selepas berjaya ditahan pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dalam kereta Proton Waja di Taman Keladi, Sungai Petani pada jam 4.05 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al-Athrash Wahid berkata, sebelum ditahan suspek turut melakukan dua kes samun berkumpulan dan pecah gudang dengan menebuk peti besi pada 27 dan 30 Jun lalu di Kubang Pasu.

Menurutnya, dalam kejadian pada 27 Jun lalu, suspek turut mengikat pengawal keselamatan sebuah pasar raya sebelum melakukan kegiatan jenayah mereka.

“Siasatan mendapati mereka berada di negeri ini sejak bulan lalu dan melakukan kegiatan itu di daerah Kubang Pasu, Alor Setar, Sungai Petani, Yan dan Baling membabitkan nilai kerugian RM100,000.

“Malah suspek juga tidak tinggal lama di sesuatu kawasan bagi mengelak ditahan di mana siasatan juga mendapati mereka turut melakukan kegiatan itu di negeri lain bermula dari Johor,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPK Kedah, Alor Setar, hari ini.

Mior Farid berkata, susulan penahanan suspek, polis merampas pelbagai telefon bimbit, gerudi, mesin pencanai besi, pemotong besi dan pelbagai peralatan pecah rumah.

“Polis turut merampas kereta Proton Waja yang didaftar atas nama salah seorang suspek dan digunakan untuk kegiatan mereka.

“Siasatan mendapati mereka sudah terbabit dengan kegiatan itu di negeri ini sejak tahun lalu, membabitkan 20 kes dan ketika ditahan mereka baru memecah masuk sebuah pasar raya di Baling,” katanya.

Katanya, suspek juga mengaku melakukan tujuh kes di negeri ini dan polis percaya kes lain turut didalangi kumpulan sama di mana pihaknya sedang mengesan ahli kumpulan lain yang masih bebas

“Semua suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 1:11 PM
MIOR Farid (dua kanan) menunjukkan peralatan mencuri yang dirampas daripda suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK), Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
MIOR Farid (dua kanan) menunjukkan peralatan mencuri yang dirampas daripda suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK), Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam