AZLAN dan Siti Hajar menunjukkan tengkolok dan jam tangan milik Mohd Azwan yang maut selepas traktor dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Parit Satu, Sungai Haji Dorani. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
AZLAN dan Siti Hajar menunjukkan tengkolok dan jam tangan milik Mohd Azwan yang maut selepas traktor dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Parit Satu, Sungai Haji Dorani. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


"SELALUNYA setiap kali Ramadan, arwahlah yang akan menceriakan suasana rumah dengan gurau sendanya.

"Sekarang, saya dan keluarga hanya mampu mengimbau memori lalu sampaikan waktu tengah solat pun terbayang wajah arwah," kata Azlan Rasidi, 54 mengenai sambutan Ramadan tahun ini tanpa anak lelakinya, Mohd Azwan Azlan, 24, yang meninggal dunia, 5 Mac lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Mohd Azwan maut selepas traktor dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Parit Satu, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.

Azlan berkata, kini hampir dua bulan Allahyarham Mohd Azwan meninggal dunia dan hanya kenangan lalu menjadi pengubat rindu buat dia sekeluarga.

"Selepas 40 hari arwah meninggal dunia, saya selalu mimpi berjumpa arwah, lebih-lebih lagi pada malam Jumaat. Saya tanya pada dia 'Wan, kamu ke mana? Lama ayah tidak nampak kamu'.

"Dia hanya tersenyum dan berkata 'saya sentiasa ada ayah'. Apabila terjaga, saya menangis dan sedar arwah sudah kembali kepada pencipta-Nya buat selama-selamanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Satu, Sungai Haji Dorani, hari ini.

Menurutnya, kesungguhan anak keempat daripada lima beradik itu yang masih segar di ingatannya ketika Ramadan lalu ialah membantu rakannya berniaga di bazar dan ekspo raya untuk mencari duit tambahan.

"Arwah sangat rajin. Ramadan lalu, pada sebelah pagi dia memandu traktor dan mengangkat baja. Manakala sebelah petang, dia berniaga air balang dan buah.

"Malah, arwah tidak menolak sebarang jenis kerja sebab dia bersedia untuk melakukannya. Saya dan isteri selalu mengingatkan supaya berhati-hati, namun takdir Allah mengatasi segalanya.

"Kami reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa agar rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya.

Sementara itu, ibu arwah, Siti Hajar Harun, 49, berkata, Mohd Azwan sempat memberikan jam tangan dan tengkolok kepadanya dan berpesan supaya menyimpannya sebagai kenangan.

"Sebulan sebelum pemergian arwah, dia menerima duit gajinya dan membeli jam tangan serta tengkolok. Tengkolok itu dia sempat pakai sewaktu berniaga di Simpang Lima.

"Manakala jam tangan itu, dia simpan dalam bekas khas dan berpesan pada saya supaya dijadikan kenangan. Waktu itu, saya tidak terfikir apa yang cuba disampaikan arwah sehingga waktu dia meninggal dunia," katanya.

Berita berkaitan

'Hadiah pilu di hari lahir'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 3:09 PM