ACHEY (kanan) dan Fad (tengah) merindui saat bersama arwah Abam. FOTO NSTP
ACHEY (kanan) dan Fad (tengah) merindui saat bersama arwah Abam. FOTO NSTP
Norhayati Nordin

"SELALUNYA setiap kali awal Ramadan, kami bertiga akan berjumpa untuk berbuka puasa dan bermaaf-maafan. Sekarang, saya hanya mampu mengimbau memori lalu. Tengok cerita-cerita lama kami dan belek foto bersama yang disimpan dalam telefon," kata anggota Bocey, Achey mengenai sambutan Ramadan tahun ini tanpa Abam yang meninggal dunia 10 Februari lalu.

Kini, sudah lebih dua bulan Allahyarham Abam meninggal dunia, hanya kenangan yang menjadi pengubat rindu dua rakan baiknya.

Achey berkata, dia dan seorang lagi anggota Bocey, Fad menitip doa buat arwah dan tidak berpeluang menziarah kubur Abam seperti sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Achey berkata, rindu dan ingatan pada Abam tak pernah sedikit pun pudar. Ditambah, pada Ramadan ini yang membuatkan dia terkenang memori lalu.

Bercerita mengenai kenangan Ramadan tahun lalu, Achey berkata, dia dan Fad dapat bertemu dengan arwah hanya beberapa kali saja.

"Ini kerana sejak beberapa tahun lalu arwah biasanya sibuk berniaga di Bazar Ramadan. Dia memang suka berniaga kerana nak bersedekah," katanya.

Achey berkata, sikap Abam yang segar di ingatannya ketika Ramadan ini ialah arwah pasti akan menghantar makanan dimasaknya kepada rakan-rakan.

"Dia akan ajak saya dan Fad datang ke bazar Ramadan tempat dia berniaga untuk kami menikmati menu masakannya. Dia nak kami rasa masakannya sedap.

"Kalau kami sibuk dan tak dapat datang, dia akan pastikan pembantunya menghantar makanan itu. Bagi dia, yang penting kami dapat rasa masakannya. Itulah Abam dan dia sibuk berniaga pun bukan kerana nak kejar untung, tapi dia buat disebabkan minat dan seronok. Arwah memang orangnya sangat rajin," katanya.

Ditanya juga mengenai anak Allahyarham iaitu Syed Uthman Hamzah Al Juffrey yang kini berusia 11 bulan, Achey berkata, dia dan Fad masih lagi berhubung dengan balunya, Nor Hidayah Mohd Ali.

Menurut Achey, dua hari lalu Nor Hidayah ada menghantar video Hamzah kepadanya dan Fad.

Katanya, walaupun dalam tempoh PKP, ia bukan halangan untuk mereka tidak berhubung dan tidak tahu perkembangan terkini Hamzah.

Bercerita aktiviti sepanjang Ramadan, Achey berkata, sekarang dia banyak masa untuk perbaiki ibadat untuk dirinya dan keluarga.

Katanya, ada hikmah disebalik penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 6:01 PM