Sjamsul Bahar (gambar kecil) maut apabila motosikal Modenas Kriss MR1 bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dekat Tanjong Karang. FOTO Ihsan Pembaca
Sjamsul Bahar (gambar kecil) maut apabila motosikal Modenas Kriss MR1 bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dekat Tanjong Karang. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


"SEMALAM, ketika nak pergi sekolah, saya sempat cium tangan atuk dan memeluknya.

"Atuk menitipkan pesanan agar mengajak ahli keluarga lain untuk solat berjemaah di surau berhampiran rumah, itu kali terakhir saya berjumpa dengan atuk," kata Muhammad Harris Fazley Azman, 13.

Dalam kejadian 11.30 pagi semalam, datuk kepada Muhammad Harris, Sjamsul Bahar Ismail, 74, terbabit kemalangan apabila motosikal Modenas Kriss MR1 bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di simpang empat di Kilometer 66 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Tanjong Karang.

Akibat kemalangan itu, Sjamsul Bahar dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.15 petang.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Haji Dorani, 6.30 petang semalam.

Muhammad Harris ketika ditemui di rumah arwah di Jalan Dato' Seri, Kampung Simpang Lima, Sungai Besar berkata, dia antara individu terakhir bertemu datuknya di HTK sebelum lelaki warga emas itu menghembuskan nafas terakhir.

"Ketika saya tengok wajah atuk, dia membuka matanya dan tidak lama kemudian, nafasnya terhenti.

"Atuk yang paling saya sayang, Allah SWT panggil pulang buat selamanya. Sebagai cucu, saya reda dengan ketentuan Allah SWT dan berharap rohnya ditempatkan bersama orang beriman," katanya.

Muhammad Harris berkata, arwah datuknya seorang yang menjaga solat fardu lima waktu dengan berjemaah di surau, selain rajin membaca al-Quran dan terjemahannya di rumah.

"Atuk tidak pernah terlepas untuk solat berjemaah walaupun ada ketikanya dia tidak sihat.

"Dalam usianya seperti itu, saya amat mengagumi atuk dan mudahan-mudahan Allah terima amalan yang dilakukan ketika hayatnya," katanya.

Menantu arwah, Juhendri Husain, 50, berkata, dia menerima maklumat berhubung kemalangan terbabit melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar salah seorang anak saudaranya.

Katanya, dia tidak mengetahui keadaan arwah hingga seorang rakan datang ke rumah dan memaklumkan motosikal arwah terbabit kemalangan.

"Apabila mendapat tahu berita itu, saya dan ahli keluarga terus bergegas ke HTK. Kami berdoa agar arwah tidak mengalami kecederaan serius, namun Allah SWT lebih menyayanginya," katanya.

Menurut Juhendri, kali terakhir dia bertemu arwah semasa menunaikan solat Subuh semalam di surau beberapa jam sebelum kemalangan berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa membelok ke arah kanan dan melanggar bahagian kiri hadapan Ford Ranger yang sedang keluar dari simpang terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 8:53 PM