GAMBAR terakhir Allahyarham Mohd Adib Ramli (kanan) yang meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Lama Kuala Selangor. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
GAMBAR terakhir Allahyarham Mohd Adib Ramli (kanan) yang meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Lama Kuala Selangor. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: “Seminggu sebelum arwah (Mohd Adib) meninggal dunia, dia bercerita kepada saya arwah ayah kerap datang dalam mimpinya.

“Adib juga beritahu dia akan menyusul mengikuti arwah ayahnya. Saya kini hilang dua insan tersayang dalam tempoh singkat,” kata Jariah Ismail, 68.

Jariah adalah ibu kepada Mohd Adib Ramli, 38, yang meninggal dunia kelmarin selepas bertarung nyawa dua hari akibat terbabit dalam kemalangan di Jalan Lama Kuala Selangor.

Dalam kejadian Isnin lalu, Mohd Adib yang juga pekerja di sebuah stesen minyak di Sungai Lias dekat sini, parah di kepala selepas Honda Wave yang ditungganginya merempuh lembu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Haji Dorani.

Mohd Adib meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh jam 2.45 petang Selasa lalu dan jenazah dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Haji Dorani jam 11 malam.

Jariah berkata, anak kelima daripada tujuh beradik itu disifatkan sebagai peramah selain tidak lekang melemparkan senyuman.

“Sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah menunjukkan sifat marah kepada orang sekelilingnya. Dia sangat menjaga tutur kata dan sering berjenaka bersama keluarga dan sahabat.

“Malah, selepas suami meninggal dunia Disember lalu, dia menumpukan sepenuh perhatian menjaga saya disebabkan adik-beradik lain bekerja di luar kawasan,” katanya.

Sementara itu, abang keempat arwah, Mohd Asri Ramli, 45 berkata, dia sekeluarga terkilan kes itu meragut nyawa arwah malah tiada pemilik lembu itu tampil menemui mereka.

“Kes seperti ini bukan baru dan banyak aduan dilaporkan kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 5:43 AM