Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PEKERJA kilang menggunakan waktu cuti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melakukan kerja amal dengan membantu menyelaras pusat penempatan sementara (PPS) gelandangan.

Aktiviti itu dilakukan Md Zukry Ahmad, 32, bersama tujuh sukarelawan lain di PPS Rakan Jalanan di Kampung Pinang, Kamunting di bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping (KMM) sejak 15 April lalu.

Md Zukry berkata, dia mengambil insiatif berkenaan berikutan kilang tempatnya bekerja menangguhkan operasi sepanjang PKP sekali gus membolehkannya menyertai kerja amal di PPS menempatkan kira-kira 20 gelandangan berusia antara 36 hingga 59 tahun.

Menurutnya, wang ringgit bukan keutamaannya sebaliknya minat dan kepuasan membantu insan memerlukan memberi 1001 makna buat diriya sejak kematian bapanya kira-kira lapan tahun lalu.

"Pengalaman membantu gelandangan adalah sesuatu yang baru walaupun saya turut menggerak sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tetapi tertumpu kepada keluarga miskin.

"Saya sentiasa berpegang bahawa dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Memang dahulunya saya nampak duit adalah segalanya, namun fikiran saya berubah sejak beberapa tahun selepas pemergian ayah.

"Justeru, saya sanggup meninggalkan kerjaya dalam sektor perhotelan di Putrajaya untuk kembali ke kampung bagi mencari cabaran baru," katanya.

Katanya, cabaran menyantuni gelandangan berbeza memandangkan tingkah-laku mereka berubah-ubah khususnya disebabkan masalah keluarga.

20 kubikel yang ditempatkan di PPS Rakan Jalanan di Dewan Serbaguna Kampung Pinang, Kamunting yang dikelolakan oleh Pertubuhan Kebajikan Masyrakat Marhean Taiping (KMM) sejak 15 April lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
20 kubikel yang ditempatkan di PPS Rakan Jalanan di Dewan Serbaguna Kampung Pinang, Kamunting yang dikelolakan oleh Pertubuhan Kebajikan Masyrakat Marhean Taiping (KMM) sejak 15 April lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Kadangkala kita tidak menyedari terdapat kelebihan terselindung pada sesetengah gelandangan seperti mahir membaca al-Quran di samping pandai ilmu keagamaan sekali gus menginsafkan kita," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KMM, Faizzul Amri Shahabuddin berkata, PPS terbabit dibuka dengan kerjasama agensi kerajaan sebagai badan sokongan bagi membendung gelandangan menjadi kluster penyebar wabak Covid-19.

Katanya, semua gelandangan terbabit disahkan negatif selepas ujian saringan Covid-19 dan kini masing-masing ditempatkan dalam kubikel dengan segala keperluan harian disediakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 1:26 PM