KEADAAN banjir di beberapa buah kampung di Membakut, Beaufort. FOTO Razik Zayad
KEADAAN banjir di beberapa buah kampung di Membakut, Beaufort. FOTO Razik Zayad
Razik Zayad


SERAMAI 246 mangsa banjir membabitkan 84 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di daerah kecil Membakut, Beaufort, kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat 8 malam tadi.

Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata, sehingga kini, operasi memindahkan beberapa penduduk masih giat dijalankan membabitkan dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Membakut dan Dewan Sekolah Menengah (SM) St Patrick, Membakut.

"Semua mangsa ini dari 18 buah kampung di kawasan daerah kecil Membakut yang terjejas banjir kilat," katanya ketika ditemui di PPS Dewan SM St Patrick, Membakut, Beaufort.

KEADAAN di PPS Dewan Serbaguna Membakut, Beaufort. FOTO Razik Zayad
KEADAAN di PPS Dewan Serbaguna Membakut, Beaufort. FOTO Razik Zayad

Antara kampung yang terjejas susulan banjir kilat di daerah Membakut adalah Kampung Jambatan Baru, Papas, Kayai, Limadang, Brunei, Lampuas dan Dungau.

Empat jalan turut terjejas akibat banjir iaitu Jalan Kampung Sinoko, Jalan Kampung Baitam, Jalan Kampung Lumantak dan Jalan Kampung Baru.

Sementara itu, mangsa banjir Piah Mat Noor, 72, ketika ditemui di Dewan Serbaguna Membakut, berkata, dia bersyukur diselamatkan oleh pasukan penyelamat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika air mula memasuki rumahnya sehingga mencecah paras pinggang di Kampung Baru Membakut, kira-kira 11 pagi.

PIAH ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Membakut, Beaufort. FOTO Razik Zayad
PIAH ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Membakut, Beaufort. FOTO Razik Zayad

"Saya sedar air mulai naik ketika sedang mengambil wudhu pada Subuh tadi.

"Namun sekitar 10.30 pagi, paras air mulai naik sehingga paras pinggang sebelum saya bersama dua lagi cucu diselamatkan oleh pasukan APM dan bomba. Syukurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:53 PM