SEBAHAGIAN dari 15 gelandangan di PPS Rakan Jalanan di Taman Kamunting Permai bergotong-royong menyiapkan kira-kira 50 batang lemak lemang sebelum diedarkan kepada penduduk sekitar. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
SEBAHAGIAN dari 15 gelandangan di PPS Rakan Jalanan di Taman Kamunting Permai bergotong-royong menyiapkan kira-kira 50 batang lemak lemang sebelum diedarkan kepada penduduk sekitar. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


"WALAUPUN mempunyai waris, namun saya suka tinggal dan menyambut lebaran bersama rakan, di sini, kerana rasa amat seronok."

Begitu kata lelaki dikenali sebagai Abdul, 59, seorang daripada 15 gelandangan yang menghuni Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Rakan Jalanan di Taman Kamunting Permai, Taiping.

Menurutnya, dia gembira menyambut Aidilfitri di PPS yang dihuninya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu berbanding di rumah adik perempuannya di Pokok Assam, Taiping.

Katanya, dia yang terpisah dengan dua anak selepas bercerai dengan isteri sejak 20 tahun lalu enggan membebankan hidup adiknya.

"Saya kini hidup sebatang kara selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menjadi punca perceraian dengan bekas isteri akibat kecacatan pada kedua-dua kaki.

"Kekurangan itu menyebabkan saya perlu menggunakan tongkat untuk bergerak selain tidak dapat bekerja seperti sebelumnya," katanya.

Katanya, dia mempunyai lapan beradik lain, tetapi adik perempuan itu lebih rapat dan sentiasa mengambil tahu keadaan dirinya.

"Bukannya apa, saya tidak mahu dianggap beban oleh keluarga adik. Dia (adik) ok tapi kalau anak cucunya tak ok, tak jadi juga.

"Justeru, lebih baik saya beraya di sini bersama rakan sebaya dan rasa bertambah seronok," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping (KMM), Faizzul Amri Shahabuddin berkata, sebanyak 50 batang lemang disumbangkan kepada gelandangan di PPS terbabit.

Menurutnya, selain membakar lemang secara bergotong-royong, edaran lemang turut dibuat kepada kejiranan di sekitar PPS berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 7:10 PM