GELAGAT Ainul bermain bersama neneknya. FOTO Ihsan FB Ahmad Safiuddin.
GELAGAT Ainul bermain bersama neneknya. FOTO Ihsan FB Ahmad Safiuddin.
Nazri Abu Bakar


BAYI kesayangan ramai, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 20 bulan, yang sebelum ini disahkan menghidap 'Germ Cell Tumor' kini semakin cergas, bijak dan ceria.

Neneknya, Salmah Atan 51, berkata, Ainul juga mampu bertepuk tangan ketika dia menyanyikan lagu kanak-kanak.

"Ainul akan senyum seperti memahami apa yang disampaikan walaupun dia belum boleh bercakap.

"Malah, dia juga sudah pandai menjeling jika diminta berbuat demikian, dan boleh mengeluarkan suara.

"Alhamdulillah, perkembangan positif Ainul memberi kelegaan kepada kami sekeluarga," katanya ketika dihubungi, di Melaka, hari ini.

Salmah berkata, cucu sulungnya itu juga suka bermain di luar rumah selepas solat Subuh sejak awal Ramadan lalu.

Katanya, dia hanya menurut kerenah Ainul Mardhiah dengan membawanya bersiar-siar di luar rumah sambil menghirup udara segar.

"Sepanjang Ramadan setakat ini, rutin Ainul berubah sedikit, dia akan tidur ketika kami ingin berbuka sehingga Sahur.

"Jadi, kami boleh berbuka bersama-sama dengan lebih mudah, malah membolehkan kami solat tarawih berjemaah dan bertadarus.

"Dia seperti memahami keadaan keadaan kami," katanya.

Dia yang juga guru bertugas di Durian Daun berkata, dia juga dapat meluangkan lebih banyak masa bersama cucunya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Sementara itu, suaminya Ahmad Razak Joffri, 54 berkata, dia berharap Ainul terus diberi kesihatan yang baik.

Pada 10 Jun tahun lalu, Ainul Mardhiah sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London, United Kingdom.

Anak pasangan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul Erwani Zaidi itu pernah menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di hospital terbabit sebelum pembedahan berkenaan.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 6:15 PM