SIDANG DUN Negeri Sembilan akan berlangsung sehari, Isnin ini. FOTO NSTP
SIDANG DUN Negeri Sembilan akan berlangsung sehari, Isnin ini. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan berlangsung sehari, Isnin ini, kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Beliau berkata, sidang berkenaan akan dilaksanakan secara ringkas dengan pemeriksaan ketat dan kehadiran yang terhad.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir akan berangkat mencemar duli merasmikan persidangan berkenaan.

"Berikutan masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menangani wabak Covid-19, persidangan DUN Negeri Sembilan Isnin nanti hanya membabitkan upacara perasmian oleh Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan disusuli ucapan Speaker.

"Tiada perbahasan serta soal jawab daripada ahli dewan dan ia mungkin akan diadakan selepas wabak Covid-19 berakhir.

"Disebabkan persidangan DUN hanya sehari, semua soalan daripada ahli dewan akan dijawab menerusi jawapan bertulis dalam tempoh lima hari," katanya kepada pemberita di kediamannya di Taman Warisan Puteri Sikamat, Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut Zulkefly berkata, tiada pemeriksaan dan tabik hormat barisan pasukan keselamatan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seperti lazimnya, sebaliknya Tuanku akan terus masuk ke dalam dewan bagi upacara perasmian.

Beliau berkata, susunan kerusi bagi setiap ahli dewan juga berubah bagi mematuhi penjarakan fizikal, malah sesi bergambar juga tidak dilakukan.

"Dari segi jemputan, hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) yang diminta hadir, selain ahli dewan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 5:49 PM