Bandar Seremban.
Bandar Seremban.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) 2020 bagi mengubah taraf dan menukar nama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang dicantumkan sebagai satu pihak berkuasa tempatan (PBT) diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, hari ini.

Yang Dipertua Dun, Datuk Zulkefly Mohamad Omar meluluskan usul berkenaan yang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli dewan.

Ketika membentangkan RUU berkenaan, Aminuddin berkata, penarafan bandar raya itu susulan MBS memenuhi kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta percantuman kedua-dua PBT itu bertepatan dengan Seksyen 4(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Beliau berkata, pencantuman itu dapat memperkemaskan pentadbiran Seremban apabila hanya satu PBT yang mentadbirnya selain memastikan MBS mempunyai hasil dan pendapatan lebih tinggi untuk kesejahteraan warganya.

"Ia bagi memperkasakan perkhidmatan menyeluruh kepada komuniti serta mempunyai akses kepada kemudahan lebih besar di setiap kawasan Seremban.

"Pencantuman kedua-dua kawasan itu dapat memberikan keselesaan dan kemudahan optimum kepada warga MBS," katanya pada persidangan Dun Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata, bagi menyediakan bandar raya pintar yang mampan, bersih dan berdaya maju, MBS komited menyediakan perkhidmatan efisien, berkualiti dan telus bagi memastikan kesejahteraan penduduknya tercapai.

Beliau berkata, secara keseluruhannya RUU itu mengandungi lima fasal antaranya menetapkan nama enakmen sebagai Enakmen Majlis Bandaraya Seremban 2020 dan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan menyifatkan penubuhan MBS sangat bertepatan selain mampu melonjakkan perolehan peruntukan yang lebih besar daripada Kerajaan Pusat memandangkan ia bertaraf bandar raya.

Pada 20 Januari lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya apabila merasmikan Wisma MBS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:14 PM