AMINUDDIN (kanan) pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN (kanan) pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (DUN) pada 30 Jun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata beliau akan mempersembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam masa terdekat.

Katanya, DUN Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendirinya pada 2 Julai tahun ini.

"Saya dah bagi tahu awal bahawa kita akan bubar (DUN) pada 30 Jun ini, bermakna 1 Julai itu tiada lagi (kerajaan negeri ini).

"Saya akan maklumkan perkara ini kepada Tuanku, malah sebelum ini pun saya sudah bagi tahu dan biasa bincangkan dengan Tuanku (mengenai pembubaran DUN)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, hari ini.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) memenangi 20 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, manakala bakinya iaitu 16 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:56 PM