Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir
Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir
Mohd Amin Jalil


YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir melahirkan rasa bangga di atas dedikasi ditunjukkan semua petugas barisan hadapan serta mereka yang membantu di belakang tabir dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

Bertitah pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14, hari ini, baginda turut kagum dengan komitmen ditunjukkan rakyat apabila ramai menjadi sukarelawan dengan memberikan bantuan melalui pelbagai cara.

"Sesungguhnya peristiwa ini adalah satu sejarah dan kita membuktikan mampu bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

"Beta menyeru agar semangat ini terus diamalkan masyarakat walaupun ancaman wabak Covid-19 telah tiada nanti.

"Beta menyeru semua pihak bermuhasabah diri dan melihat semula peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan supaya matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan seterusnya menjadi negeri ini maju terlaksana," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah, wabak pandemik Covid-19 amat memberi kesan kepada manusia selain menjejaskan hampir semua sektor ekonomi dunia dan Malaysia serta Negeri Sembilan yang turut menerima impak negatif.

Bagaimanapun, baginda bangga apabila kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM18.74 juta ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri bagi membiayai pelbagai program bantuan kepada rakyat dan barisan hadapan.

"Antaranya bantuan makanan asas kepada 39,995 ketua isi rumah, bantuan tunai RM300 secara one-off kepada 10,000 orang penjaja/peniaga kecil berdaftar dan bantuan tunai RM300 kepada 3,333 orang pemandu teksi berdaftar, ehailing/Grab dan pemandu kereta sewa.

"Selain itu menyumbang RM500 kepada setiap keluarga pesakit yang dikesan positif Covid-19 dan bagi meringankan lagi beban rakyat, kerajaan turut mengecualikan bayaran sewa rumah PPR kepada 4,740 penyewa untuk Mac dan April 2020 yang akan menyebabkan kehilangan hasil negeri sebanyak RM1.24 juta.

"Sebanyak RM100,000 disumbangkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu menjamin kesinambungan rantaian bekalan makanan di Negeri Sembilan," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah, kontraktor kecil Bumiputera tidak ketinggalan apabila kerajaan negeri meluluskan 1,108 projek penyelenggaraan jalan di bawah Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM269.44 juta.

Baginda bertitah, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi diluluskan bagi melaksanakan 65 projek pembangunan.

Persidangan DUN kali ini dibuat secara ringkas berikutan masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada perbahasan serta soal jawab daripada Ahli Dewan.

Malah, tiada pemeriksaan dan tabik hormat barisan pasukan keselamatan, manakala susunan kerusi bagi setiap Ahli Dewan berubah bagi mematuhi penjarakan fizikal.

Yang Dipertua DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, sesi perbahasan kalangan Ahli Dewan mungkin akan diadakan selepas wabak Covid-19 berakhir.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 3:04 PM